Pengalaman Iftar Dataran Dekat Masjid Putrajaya 2019


Salam Ramadan Ke7...

Bukan tiap hari dalam ramadan saya mampu untuk berkongsi di sini. Hari ini rasa ada sedikit 'reason' cuma nak kongsi berpeluang pergi, lihat suasana dan beli di  bazar Putrajaya. Itu pun hasil ajakan dua adik ipar perempuan yang memang menetap tak jauh dari 'mercu tanda kemajuan negara'. Ini kali kedua saya merasa bazar PUJ. Dulu pernah datang sini ketika bekerja di Cyber (zaman single mingle) sekitar 2008/09. Rasa saya dataran bukan yang sama. Dengar kata sentiasa tak tetap ikut kata orang yang biasa dengan PUJ.

Ini baru iftar outdoor.

Datang dan sampai pun dah agak lambat menjadikan semua yang ada terhad. Beli saja apa yang patut dan kami seramai lapan orang bergerak ke lokasi tempat makan ala piknik di dataran dekat masjid utama. Suasana baharu dan rasa 'macam best je' lihat warga PUJ  dan mereka yang mungkin datang dari kejiranan terdekat berbuka di sepanjang jalan dekat taman, tepi jambatan berlampu, malahan di sekitar bazar yang ada tersedia khemah khas.

Solat maghrib di masjid Putrajaya.

Rupanya lokasi wuduk di tingkat paling bawah kena turun tangga. Dan boleh gunakan lif jika mahu untuk naik semula ke ruang solat. Ini bagi wanita. Ruang solat lelaki saya tak pasti. Saya tunaikan solat di sini. Kali pertama lagi sekali. Saya kira ini hadiah dalam bentuk 'rohani' Allah beri sempena ulang tahun ke-37 hari ini. Alhamdulilah. Kalau dapat bertarawih di sini lagi bermakna. Mungkin rezeki bukan di sini. Cuba doa lagi!


Baiklah itu sahaja buat masa ni. Esok Isnin. Tengah menunggu mushaf sampai depan pintu rumah.

Sebelum saya akhiri, mari kita baca apa kelebihan solat sunat tarawih sepanjang ramadan dan sedikit imej sempat saya 'capture' dalam masjid dan luar dataran depan masjid.

Bagi yang sedang dan masih konsisten di landasan tarawih tiap malam, tahniah sebab masih terpilih untuk menjana pahala yang begitu bermakna demi kehidupan negeri akhirat kelak!!!

 Bagi yang belum sahut cabaran tarawih dan jejakkan kaki ke masjid, apa kata kali ini kita cuba letakkan program tarawih dalam jadual harian sepanjang bulan ini.

Tepuk dada tanya iman!



"Seperti kebiasaan suasana di rumah Allah hanya akan dilihat meriah pada 10 malam pertama Ramadan dan semakin berkurangan pada 10 malam terakhir."

Benarkah? Dan sejauh mana kebenarannya setiap kali tiba Ramadan. Kalau YA mari kita lihat dan hadam sebaiknya semua kelebihan solat sunat tarawih dan ini saya dapati mengikut sumber boleh dipercayai.

Kelebihan solat tarawih malam pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
Kelebihan solat tarawih malam kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
Kelebihan solat tarawih malam ketiga
Para malaikat di bawah Arash menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
Kelebihan solat tarawih malam keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.
Kelebihan solat tarawih malam kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram, Masjid al-Madinah dan Masjid al-Aqsa.
Kelebihan solat tarawih malam keenam
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Bait al-Ma’mur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih pada malam itu.
Kelebihan solat tarawih malam ketujuh
Seolah-olah dia dapat bertemu dengan Nabi Musa AS serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
Kelebihan solat tarawih malam kelapan
Allah SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim AS.
Kelebihan solat tarawih malam kesembilan
Allah SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.
Kelebihan solat tarawih malam ke-10
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
Kelebihan solat tarawih malam ke-11
Dia meninggal dunia dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
Kelebihan solat tarawih malam ke-12
Dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya seperti bulan.
Kelebihan solat tarawih malam ke-13
Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang kejahatan dan keburukan.
Kelebihan solat tarawih malam ke-14
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat tarawih serta Allah SWT tidak akan menghisab mereka.
Kelebihan solat tarawih malam ke-15
Semua malaikat yang memikul Arash dan Kursi akan berselawat serta mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-16
Allah SWT menuliskan baginya dalam kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Kelebihan solat tarawih malam ke-17
Allah SWT menuliskan baginya pahala pada malam ini seperti pahala Nabi-Nabi.
Kelebihan solat tarawih malam ke-18
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah! sesungguhnya Allah telah reda denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
Kelebihan solat tarawih malam ke-19
Allah SWT akan meninggikan darjatnya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-20
Allah SWT mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
Kelebihan solat tarawih malam ke-21
Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat daripada cahaya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-22
Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang dukacita dan kesedihan pada hari tersebut.
Kelebihan solat tarawih malam ke-23
Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga.
Kelebihan solat tarawih malam ke-24
Allah SWT akan memberinya dua puluh empat permintaan yang mustajab.
Kelebihan solat tarawih malam ke-25
Allah SWT akan mengangkat seksa kubur daripadanya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-26
Allah SWT akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam tersebut.
Kelebihan solat tarawih malam ke-27
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
Kelebihan solat tarawih malam ke-28
Allah SWT akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di syurga.
Kelebihan solat tarawih malam ke-29
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
Kelebihan solat tarawih malam ke-30
Allah SWT akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): "Wahai hambaku! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam air yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama al-Kauthar. Aku Tuhanmu dan engkau adalah hambaku”.

Sumber hadis: Kitab Durrah al-Nasihin pada halaman ke 19.



Post a Comment

0 Comments