Mengapa Nabi Muhammad SAW Berkahwin Dengan Khadijah, Seorang Janda?


 Apabila menginjak ke usia dewasa, datang persoalan sebegini. Mengapa ia perlu dipersoalkan? Sebagai lazimnya seorang lelaki muda, sudah tentu berkenan kepada wanita-wanita yang belum bersuami dan masih muda. Tetapi tindakan Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam berbeza dengan norma biasa seorang lelaki dewasa.

Jawapan bagi persoalan ini tidak diketahui jawapannya. Nabi Muhammad pun tidak pernah memberitahu mengapa baginda memilih calon isteri seorang janda.

Credit Image

Sebagai info, sebelum berkahwin dengan Rasulullah, Saidatina Khadijah telah berkahwin dengan dua orang lelaki, iaitu ‘Atiq bin ‘A’iz dan Abu Halah bin al-Nabbasy. Sukar ditemui tentang status ‘Atiq itu sama ada bercerai hidup atau bercerai mati dengan Khadijah. Melalui beberapa fakta sejarah yang tidak jelas kesahihannya menunjukkan beliau meninggal dunia.

Manakala Abu Halah pula didapati masih hidup di zaman Nabi dan beliau hidup sehingga zaman pemerintahan Khalifah Ketiga Saidina Ali bin Abi Talib dan terkorban di dalam Peperangan Jamal. Jadi, Khadijah dan Abu Halah bercerai hidup.

Apakah pedoman isu ini untuk kita di zaman sekarang? Apakah kelebihan seorang janda sehingga Nabi Muhammad memilih untuk menjadi pasangan hidup baginda sehingga isteri tercinta itu meninggal dunia. Baginda tidak pernah berpoligami sewaktu hidup bersama dengan Khadijah.

Apabila direnung kembali, apakah kelebihan seorang janda yakni seorang wanita yang pernah berkahwin dan pernah bercerai dengan bekas suaminya?

Di sini kita boleh simpulkan beberapa perkara sebagai pedoman untuk kita.

Pertama, apabila Nabi Muhammad mendirikan rumah tangga bersama Khadijah binti Khuwailid, baginda tidak perlu mendidik Khadijah tentang tanggungjawab seorang isteri daripada kosong. Khadijah telah mempunyai pengalaman bagaimana melayari kehidupan bersama seorang lelaki bernama suami. Apa kehendak suami, apa keinginan dan keperluan zahir dan batin suami.

Kedua, Nabi Muhammad juga dapat belajar daripada Khadijah tentang apa keperluan seorang wanita yang bernama isteri. Memandangkan Khadijah sudah pun berpengalaman hidup bersama dengan lelaki lain sebelum ini. Tidaklah Nabi dan Khadijah terpaksa ‘try and error’ hidup bersama.

Bagi yang baru kali pertama berkahwin, kita terpaksa bereksperimen bersama pasangan kita. Apa yang pasangan kita suka dan tidak suka, bergaduh, berbaik semula, kemudian berselisih, meminta maaf pula. Mengapa? Kita masih dalam proses belajar untuk hidup di alam rumah tangga. Bagi alam rumah tangga Nabi, Khadijah sudah ada pengalaman. Jadi, ada kemungkinan juga Khadijah berkongsi dengan Nabi apa yang boleh dan tidak boleh dalam sebuah kehidupan perkahwinan.

Hadith ini dilaporkan oleh Aisyah binti Abu Bakr. Muhammad kembali kepada keluarganya dengan membawa ayat wahyu dalam keadaan gelisah. Beliau menemui Khadijah binti Khawailid lalu berkata, “Selimuti daku, selimuti daku!”

Baginda pun diselimuti hingga hilang ketakutannya. Kemudian beliau menceritakan peristiwa yang terjadi itu kepada Khadijah, “Saya benar-benar bimbangkan diri saya.”

Khadijah berkata, “Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, dikau menyambung silaturrahim, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran.” – Sahih al-Bukhari

Apabila kita melihat hadis ini daripada sudut pandangan sebuah kehidupa rumah tangga, ia satu situasi yang sangat sempurna bagi seorang isteri menguruskan emosi seorang suami. Seolah-olah kita dapat lihat, bagaimana Khadijah sangat memahami peribadi dan personaliti Nabi yang beliau telah hidup bersama selama 15 tahun pada peristiwa ini.

Tanpa bertanya apa-apa pun, di saat suami pulang dalam keadaan gelisah dan meminta supaya diselimutkan, Khadijah sebagai isteri berpengalaman luas memenuhi permintaan suami. Tanpa ditanya apa-apa soalan.

‘Abang kenapa? Apa berlaku?’
‘Kenapa abang pucat? Abang nampak hantukah?’
‘Berapa kali saya sudah cakap, jangan pergi ke gua lagi, tengok apa sudah jadi!’

Ini mungkin dialog yang lazimnya akan keluar daripada mulut seorang isteri apabila melihat suaminya pulang dalam keadaan gelisah. Tetapi Khadijah langsung tidak bertanya apa-apa. Jelas dan ketara pengalaman beliau membantunya menguruskan situasi begini.

Dalam keadaan begitu, menemani suami sehingga suami tenang dan mula berbicara. Apabila suami rasa risau dan bimbang, diberi ketenangan dengan memberi pengukuhan yang jelas bahawa tidak akan ada apa-apa bahaya yang akan menimpa.

Khadijah memberitahu ciri-ciri personaliti yang ada pada diri Nabi, Khadijah berkata, “Demi Allah! Sesungguhnya, dikau menyambung silaturrahim, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran.”

Ini adalah 6 personaliti Nabi Muhammad yang jelas nampak di mata Khadijah yang dikenali selama 15 tahun perkahwinan pada peristiwa itu. Secara jujurnya, mampukah kita menyenaraikan 6 personaliti pasangan kita dengan tepat setelah sekian lama hidup bersama? Insya Allah, boleh.

Di sini kita dapat lihat bagaimana pengalaman luas Khadijah di alam perkahwinan menjaga dan menguruskan kehidupan Nabi. Sehingga baginda sangat mengasihi dan mencintai beliau.

Saidatina Aisyah pernah memberiahu, “Tidaklah saya cemburu kepada mana-mana isteri Nabi melainkan pada Khadijah. Saya tidak sempat bertemunya.”

Aisyah berkata lagi, “Apabila Rasullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam menyembelih kambing, baginda akan berkata kepada pembantu, “Hantarkan sembelihan kambing ini kepada sahabat Khadijah.”

Aisyah menyambung, “Pada satu hari, saya rasa marah kepada baginda maka saya berkata, ‘Khadijah lagi.’

Lantas Nabi Sollahu ‘Alayhi wa Sallam bersabda, “Saya telah dianugerahkan untuk mencintainya.” – Sahih Muslim

Para wanita tidak dapat belajar daripada Khadijah secara langsung. Tetapi ciri-ciri seorang wanita yang mempunyai banyak pengalaman di alam rumah tangga kita boleh cari di zaman sekarang. Maka di situ, kita boleh aplikasi dalam memberi latihan kepada para bakal suami dan isteri tentang pengalaman hidup yang sebenar daripada orang yang mengalami sendiri kehidupan alam perkahwinan.

Lazimnya, kita mendengar ceramah dalam kursus perkahwinan daripada pengalaman seorang isteri yang melayari hidup dalam tempoh yang lama dengan suaminya. Kekurangannya ialah beliau tidak ada pengalaman kehidupan seorang wanita yang pernah bercerai memandangkan beliau mendapat suami yang baik. Bagaimana dia boleh berkongsi tentang worst case scenario sebagai pasangan yang akan bercerai memandangkan dia tidak ada pengalaman sendiri.

Maka, dicadangkan kepada wanita-wanita bujang yang ingin mendirikan rumah tangga, temui wanita-wanita yang pernah mengalami naik turun di alam perkahwinan. Pelajari kehendak sebenar seorang lelaki zahir dan batin. Begitu juga bagi lelaki, dapatkan pedoman daripada lelaki dan wanita yang pernah alami sendiri situasi perceraian barulah kita nampak realiti sebenar sebuah perkahwinan. Jika tidak kita akan terkhayal sendiri tentang realiti kehidupan rumah tangga yang sebenar.
Source


Temui Tuan Saifuddin dengan topik Seni Memetik Quran Dan Hadis Untuk Penulisan Buku Umum hari ini jam 9 pagi.

• Ahmad Saifuddin Yusuf, penggerak dalam Projek Tafsir Al Quran Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan pengkaji hadith & sirah•

Mendalami dan Memahami Makna
Sekolah Penulisan Ramadan di bit.ly/VirtualSPR2020

Post a Comment

0 Comments